Seorang wanita kini menjadi ketua rumah dalam menguruskan hal rumah tangga selepas suami yang dicintainya hanya mampu terlantar selepas mengalami komplikasi buah pinggang dan paru-paru. Mazura Mohd. Mangun, 45, berkata, ketika sihat, suaminya, Saiful Anuar Md. Daud, 51, bekerja sendiri dengan mengambil upah membersihkan kebun, membina rumah dan melakukan kerja-kerja kampung bagi menyara mereka sekeluarga. Ibu empat anak itu berkata, perubahan hidup mereka sekeluarga berlaku apabila suaminya mengadu sengal-sengal pada kaki dan belakang badan tiga tahun lalu.
“Kesihatannya semakin merosot pada November tahun lalu apabila kerap keluar masuk hospital dan ditahan di unit rawatan rapi selama tiga bulan pertengahan April lalu. “Suami telah ditidurkan sebanyak tiga kali apabila jantungnya lemah akibat kekurangan oksigen dalam badan,”. Menurut Mazura, doktor masih belum dapat mengenal pasti punca penyakit suaminya yang kini bergantung kepada susu khas yang diminum melalui tiub selain tekaknya terpaksa ditebuk untuk membuang kahak. Tambahnya, suaminya hanya bergantung kepada dia dan empat anaknya berusia antara 16 hingga 23 tahun untuk menguruskan diri seperti makan, mandi, menukar lampin dan lain-lain. “Kami juga menggunakan khidmat ambulans setiap kali menghantarnya menjalani rawatan susulan di hospital yang menelan kos RM200 setiap perjalanan,” katanya. Mazura berkata, dia kini menjual kuih di kedai makan berhampiran dan menjaga anak jiran bagi mendapatkan wang selain bantuan zakat. “Sudah tertulis ini yang perlu kami sekeluarga hadapi, namun saya yakin serta berharap suami mampu sihat kembali seperti sediakala dan anak-anak juga rindukan bapa mereka yang suka bergurau dan menjadi tempat mengadu duka,” ujarnya.
Kredit : Kosmo
Terima kasih diatas sokongan anda!
Bantuan telah pun ditutup.
Terima kasih diatas sokongan anda!
Bantuan telah pun ditutup.