Seorang remaja tidak menyangka impiannya untuk menjadi jurukimpal perkapalan terpaksa dilupakan selepas dia terlibat dalam kemalangan yang mengakibatkan tangan kirinya dipotong. Lebih menyedihkan apabila remaja berkenaan, Kamarul Azim Abd. Aziz, 18, kini terpaksa menerima hakikat tidak dapat menyambung pengajian dalam bidang kemahiran kejuruteraan hanya kerana kekurangan yang ada pada dirinya. “Saya dimaklumkan oleh pihak berkaitan bahawa mereka tidak dapat mempertimbangkan kedudukan saya bagi menyertai kursus berkenaan memandangkan keadaan saya ketika ini selain faktor keselamatan. Sebelum ini, saya belajar dalam bidang kejuruteraan automotif dan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang automotif. Bagaimanapun, kekurangan yang ada memungkinkan saya sukar mendapatkan pekerjaan dalam bidang ini.
Menceritakan tentang kemalangan yang menimpa, Kamarul Azim berkata, dia tidak dapat mengingati apa yang berlaku dan perkara terakhir yang diingatinya adalah dia berada di hospital dalam keadaan tangan kirinya telah dipotong. “Kejadian berlaku ketika saya pulang dari kerja sambilan sebagai pengawal keselamatan di Cyberjaya kira-kira pukul 5 petang pada 3 Julai lalu dengan menunggang motosikal. “Selepas itu saya tidak tahu apa yang berlaku. Hanya terdapat kesan calar pada bahagian kiri motosikal dan mungkin kerana saya terjatuh,” katanya. Anak bongsu daripada enam adik beradik itu menambah, dia kini mengalami kesukaran menjalankan aktiviti harian dan mengakui agak kekok untuk membiasakan diri melakukan tugasan seperti mengangkat barang ataupun menulis. “Banyak perkara yang saya terpaksa belajar semula dan salah satu yang paling penting adalah menulis kerana saya seorang kidal. “Jadi, kehilangan tangan kiri amat menyukarkan terutama untuk saya menulis.
“Kami sekeluarga kini sedang fokus kepada penyembuhan bekas luka kemalangan dan sesi terapi di hospital. Dalam masa sama, kami akan memohon kad orang kelainan upaya (OKU) bagi memudahkan urusan saya di masa hadapan,” jelasnya. Sementara itu, bapa Kamarul Azim, Abdul Aziz Mohamad, 59, berkata, dia bimbang dengan masa depan anak bongsunya itu dan akan melakukan sebaik mungkin bagi memastikan remaja berkenaan mampu berdikari sebaiknya. “Saya dan isteri mengusahakan gerai menjual makanan pagi di hadapan rumah dan Kamarul Azim juga turut membantu. “Saya berharap ada pihak di luar sana yang prihatin tentang masa depan Kamarul Azim dan boleh membantunya mendapatkan peluang pekerjaan atau kursus kemahiran yang bersesuaian, Ia penting bagi memastikan anak saya tidak tidak ketinggalan dan mampu berdikari,” katanya.
Kredit : Penulisan Kosmo
Terima kasih diatas sokongan anda!
Bantuan telah pun ditutup.
Terima kasih diatas sokongan anda!
Bantuan telah pun ditutup.