Assalamualaikum.
Saya ingin memohon bantuan untuk pembayaran bil tertunggak di Hospital Ampang berjumlah RM185.00 yang bertarikh 14 Mei 2022. Pada 11 Mei 2022 hingga 14 Mei 2022, saya telah dimasukkan ke Hospital Ampang kerana jangkitan pada hempedu disebabkan oleh prosedur yang dilaksanakan oleh Hospital Selayang pada tahun 2017 disebabkan penyakit yang sama. Saya juga sepatutnya menjalani rawatan CT Scan pada 27 Mei 2022 tetapi disebabkan ketika itu saya masih belum dapat membayar bil rawatan tersebut, saya menundanya ke tarikh 20 Jun 2022 tetapi saya tidak hadir juga pada tarikh tersebut kerana masih belum mampu membayar bil itu. Selain itu,saya juga tidak tahu berapa caj rawatan yang akan dikenakan pada saya untuk rawatan CT Scan ini. Disebabkan itu, saya ingin memohon bantuan daripada kalian yang sudi membantu saya di sini. Saya merupakan peniaga bersama suami saya tetapi disebabkan penyakit yang saya hadapi ini, kami tidak dapat berniaga kerana modal sudah habis digunakan untuk kelangsungan hidup kami sebelum ini.
Untuk pengetahuan anda semua, kami mempunyai 8 orang anak yang berumur di lingkungan 18 hingga 2 tahun yang perlu disara. Saya juga ingin memohon bantuan modal agar dapat kami mulakan kembali perniagaan kami sebelum ini yang menjual kueyteow goreng utara dan beberapa menu utara seperti bihun sup utara dan Aneka Sup Utara. Kami perlu membayar sewa gerai berjumlah RM600 dan ianya telah tertunggak sejak bulan Mei yang lalu disebabkan penyakit saya. Anggaran modal yang diperlukan untuk perniagaan kami adalah berjumlah RM3000. Selain itu kami juga mempunyai tunggakan bil eletrik yang perlu dijelaskan berjumlah hampir RM1000 disebabkan pendapatan kami yang tidak mencukupi untuk menampung kehidupan kami. Diharapkan anda dapat membantu kami untuk berniaga kembali agar dapat kami meneruskan kelangsungan hidup dan menyara anak-anak kami. Saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih dan semoga kita semua dimurahkan rezeki dan diberkati Allah swt selalu. 29 / 07 / 2022 saya da mula berjualan balik. Saya jual nasi lemak dekat Taman Kosas. Baru mula berjualan 4 hari. Untuk berniaga ni saya beli barang2 yang penting je dan cuma menjual nasi lemak biasa. Biasanya jualan saya dapat RM50 ke RM60 sebab sehari saya buat 25 ke 35 bungkus. Kalau hari hujan dapat dalam RM30 ke RM40.
Assalamualaikum cik, dana yang diberikan sebelum ni telah saya gunakan untuk jelaskan bil hospital dan membeli keperluan rumah. Esok saya akan menjalani rawatan ct scan pula. Keadaan sekarang bolehlah meniaga sikit2 cik cuma tak boleh buat kerja berat2 sangat. Tadi dapat detect ada benjolan dalam breast belah kanan nanti kena buat ultrasound pula. Jadi sekarang ada 2 kes la di Hospital Ampang.
Selamat tengahari, saya baru keluar wad last week sebab gula naik sampai 32 yang mana boleh sebabkan koma kalau saya terlewat pergi hospital. Sekarang saya kena guna insulin 4 kali sehari. Masa admit ni kena bayar RM65. Memang masih perlukan bantuan jika boleh disebabkan saya sekarang dah tak boleh buat kerja berat dan disarankan banyak berehat disebabkan masalah batu karang di hempedu dan benjolan di payudara disebabkan penyakit CMG. Suami masih bekerja tapi part time sebab nak kena uruskan anak sekolah. Tu je suami buat sekarang sebab uruskan anak2 payah. Dan kalau nak mintak tolong keluarga lain jaga anak2, mereka semua tinggal jauh. Adik beradik tak ada yang tolong sebab dorang pun susah juga. Haritu bil api yang masih tertunggak sampai RM1000 lebih tapi dah bayar guna duit BKM.
Bulan lepas saya admit wad tukar stent dan 14/5 nanti akan melakukan operation buang hempedu dan benjolan di payudara. Saya masih lagi memerlukan bantuan sebab sekarang pendapatan tak menentu dan anak2 akan masuk sekolah pula bulan hadapan. Saya juga perlu menyimpan perbelanjaan untuk sebelum dan selepas operation nanti. Sekarang saya hantar kuih ke gerai orang untuk berjualan. Sehari bole la dapat RM30 cik. Saya ada mohon bantuan zakat dan dapat bantuan sewa rumah. Suami masih buat kerja partime sambil uruskan anak2. Haritu saya kena makan ubat steriod tapi dah stop dan sekarang on insulin 4 kali sehari.