Luluh hati sepasang suami isteri melihat anak kesayangan menderita sakit dalam usia yang terlalu muda dan perlu menjalani pelbagai rawatan. Zhahrin Ain Mohd. Madzlan, 35, dan isteri, Nurul Amalina Mohd. Arbi, 31, berkata, anak sulung mereka Muhamad Wirdas Hafiy, 9, terpaksa melalui episod rawatan setelah disahkan menghidap kanser limfoma tahap tiga pada Mei lalu. Menurut Zhahrin Ain, kesihatan Muhamad Wirdas atau lebih mesra dipanggil Wirdas merosot sejak dua minggu sebelum Ramadan apabila dia mengalami bell’s palsy selain kesukaran untuk bernafas.
“Selepas menjalani pemeriksaan, doktor pakar di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mengesahkan Wirdas menghidap kanser limfoma tahap tiga. “Walaupun sedih, kami cuba menerimanya dengan positif tambahan lagi Wirdas sendiri kuat. Walaupun dia tahu dia ada kanser, dia pamerkan semangat yang tinggi untuk melawan penyakitnya,” katanya. Tambahnya, dalam tempoh sebulan lebih Wirdas berada di HRPB, rawatan kemoterapi bagi mematikan sel kanser terus dilakukan dan ia masih berlarutan sehingga kini. “Setiap kali selesai menjalani rawatan kemoterapi, badan Wirdas akan menjadi lemah dan lesu. Sedih melihat keadaan anak selepas kemoterapi kerana ia cukup memeritkan, namun semangat dia cukup kuat.
“Dia pernah luahkan kepada kami lebih baik dia mati daripada terseksa. Dia juga tahu dia menghidap kanser dan selalu fikir apa akan jadi selepas ini. “Bagaimanapun, semangat Wirdas kuat dia memang mahu sembuh, sebab itu dia sentiasa bersedia untuk melakukan kemoterapi. Sebagai ibu bapa, kami beri dia semangat untuk tempuh ujian ini,” luahnya. Zhahrin Ain memberitahu, sejak disahkan menghidap kanser tersebut, Wirdas dinasihatkan doktor untuk tidak ke sekolah ekoran keadaan kesihatannya.
Bagi menghilangkan rasa bosan, anaknya meminta untuk berniaga runcit dengan menjual keropok dan gula-gula di hadapan rumah bagi membolehkan dia mendapatkan ‘duit poket’. “Sejak dia sakit, isteri tidak lagi berniaga kedai makan. Untung yang diperolehi itu boleh juga menampung perbelanjaan keluarga,” katanya yang bekerja sebagai mekanik dan membaiki motosikal di rumah.
Wirdas dihospital Ipoh sekarang sebab dia demam. Dah 3 hari dalam wad dan masih menerima rawatan selama 7 hari di HRPB Ipoh ni untuk jalan antibiotik. Dia dah habis kimo dah. Jumaat lepas last kimo wirdas. Cuma jalan maintenance je sekarang. Tapi Rabu lepas dia kurang darah kuning dan kaki dia naik lebam². Jadi saya bawak dia ke hospital untuk masuk darah kuning. Mungkin sebab terkejut dia dapat demam pulak. Keadaan kami macam biasa. Saya masih lagi baiki motor tapi seminggu la terganggu pendapat sebab jaga wirdas di dalam wad. Isteri tak dapat jaga sebab kena jaga adik wirdas berusia 6 bulan di rumah. Yang sekarang ni temu janji dia dua minggu sekali datang chek darah.13hb ni temujanji untuk CT scan wirdas. Alhamdulillah makanan tak pernah cukup² untuk kami berenam dirumah. Kalau tunggakan ada bil elektrik tapi baru je kami selesaikan. Tinggal air je belum lagi. Insyaallah saya keluar wad ni saya usaha untuk bil air pulak. Kedai wirdas tak bukak dah sebab wirdas sebelum ni kimo dia rapat². Wirdas ada 4 beradik, 3 lelaki 1 perempuan. Pendapatan saya tak tentu. Sebulan tu kalau bersih dalam RM1500/1600 boleh tapi kalau saya tak ada cuti la. Dua bulan ni susah sikit sebab kimo wirdas rapat². Boleh la dapat RM1100/1200 dan belum tolak barang keperluan sikit².