Seorang isteri menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga selepas suaminya yang menghidap kanser otak kini terlantar setelah diserang strok sejak Mac lalu. Aminah Hashim, 39, yang merupakan suri rumah berkata, tanggungjawab mencari rezeki sebelum ini terletak di bahu suami, Mohd. Zulkhairi Saidin, 44, yang bekerja sebagai pengurus lapangan di kedai serbaneka. “Selain menjaga suami dan membesarkan anak-anak, saya perlu keluar berniaga dengan mengusahakan kedai runcit di Taman Seri Gedung yang dibuka pada hujung tahun lalu,” katanya. Aminah memberitahu, sebelum ini mereka menetap di Taman Sri Wang dan terpaksa membawa suami serta tiga anak berpindah ke rumah peninggalan ibu mertua di Kampung Batu Lintang kerana terletak berdekatan rumah saudara-mara yang lain.
“Suami memerlukan penjagaan rapi dan bergantung susu yang diberi melalui tiub yang dipasang di lehernya. Kakak ipar (Hasni Saidin) turut membantu menjaga suami sekiranya saya keluar berniaga,” ujarnya. Ceritanya, episod duka itu bermula pada 2011 apabila suaminya diserang sawan dan mudah pengsan sebelum disahkan kanser otak tahap tiga pada 2018. Sejak itu tahap kesihatan lelaki itu merosot dan terpaksa berulang-alik ke hospital. “Bimbang tentang masa depan kami, suami berhenti kerja pada 2021 dan mengeluarkan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dijadikan modal membuka kedai runcit. Tiga bulan kedai beroperasi suami diserang strok,” katanya. Mohd. Zulkhairi menerima bantuan susu dan lampin pakai buang serta pencen ilat selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). “Walaupun mendapat bantuan, saya masih perlu bekerja kerana harus menjelaskan bayaran seperti rumah, motosikal dan bil-bil utiliti lain berjumlah RM2,000 sebulan,” ujarnya.
Kredit : Penulisan Kosmo
Terima kasih diatas sokongan anda!
Bantuan telah pun ditutup.
Terima kasih diatas sokongan anda!
Bantuan telah pun ditutup.