Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Itulah perumpamaan bagi menggambarkan kehidupan seorang ibu muda yang bukan sahaja menderita penyakit buah pinggang tahap empat, malah diuji apabila anaknya disahkan menghidap epilepsi atau sawan. Siti Noramziah Ramli, 24, berkata, walaupun hidup serba kekurangan selain menghidap masalah kesihatan, dia dan suaminya, Mohammad Khairul Azhar Rosly, 21, tabah menjaga anak tunggal mereka, Mohammad Wafie Muzakki, 19 bulan, yang hanya mampu terbaring. Menurutnya, anaknya yang dilahirkan secara normal dengan berat 1.2 kilogram (kg) disahkan menghidap sawan ketika berusia dua bulan. Katanya, ketika ini anaknya yang sudah menjangkau usia dua tahun masih tidak mampu bertutur mahupun berjalan seperti kanak-kanak lain seusia dengannya. "Dalam masa sama, berat badan anak saya hanya enam kilogram dan bergantung kepada susu formula selain makanan lembut disebabkan dia tidak mampu untuk menelan makanan lain yang diberikan.
"Suami saya yang sebelum ini berkhidmat dalam askar wataniah terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti sejak setahun lalu selepas saya sakit selain anak kami juga memerlukan perhatian. "Untuk meneruskan kelangsungan hidup, suami mengambil upah sebagai dropship perniagaan dalam talian dengan pendapatan tidak menentu bergantung kepada hasil jualan," katanya ditemui di Kampung Panji di sini, semalam. Siti Noramziah mengakui mempunyai anak menghidap penyakit sawan amat menguji ketabahan berikutan anak istimewa itu memerlukan penjagaan khusus selain tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana bimbang diserang sawan. Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Mohammad Wafie Muzakki bergantung sepenuhnya kepada ubat sawan yang perlu diberikan hampir setiap hari. "Lebih perit lagi, saya juga perlu menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) sejak Mac tahun lalu, malah buah pinggang sebelah kanan tidak lagi berfungsi. "Bagaimanapun, saya tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya ini sebahagian ujian yang diberikan oleh Allah SWT untuk menguji hamba-Nya dan dalam masa Mohammad Wafie Muzakki adalah anugerah terindah kepada kami untuk dijaga bagai menatang minyak yang penuh," katanya.
Katanya, setiap bulan dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk membeli keperluan Mohammad Wafie Muzakki termasuk lampin pakai buang, susu, selain kos ulang-alik ke hospital setiap kali menjalani rawatan hemodialisis dan menghadiri temujanji. "Mujurlah saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan yang sedikit sebanyak dapat meringankan beban, selain adik-beradik juga ada yang membantu walaupun bukan dalam kalangan orang yang senang," katanya. Kredit : Penulisan Metro
Saya dapat tahu sakit saya dalam 3 tahun, masa saya mengandung pun saya tak tahu yang saya sakit. Dalam kandungan usia 4 bulan baru saya tahu yang saya sakit dan tahu pun yang sakit dah teruk. Berpunca daripada batu karang dalam buah pinggang saya. Gaji suami saya tak tentu dalam RM300 macam tu. Tu pun kalau sampai lah. Selain tu suami saya akan kumpul kotak² untuk dijual selain daripada buat dropship. Saya duduk sekali dengan mertua dan duduk rumah sewa. Rumah sewa sebulan RM450 dan saya tak tahu kalau ada tertunggak ke tak sebab mak mertua yang selalu bayar. Saya cuma tumpang sahaja.
Time ada duit lebih saya bagi lah duit sikit kat mak mertua. Kalau suami buat dropship tu dia kadang jual keropok lekor kadang ikan perkasam. Keropok lekor RM13.00 kalau jual. Sambutan ada lah juga sikit. Biasa kalau musin buah-buahan, kita orang cod buah-buahan. Kalau keperluan asas tu tak tahu nak bagi tahu sebab dalam seminggu 3 kali ulang alik ke hospital, minyak kereta pun kadang dalam seminggu 3 4 5 kali isi. Anak saya pun ada juga pergi temu janji dekat hospital. Sebelum ni dia ada follow up dekat HRPZ tapi sekarang saya dah tukar ke HUSM. Jarak hospital dari rumah tak jauh mana pun. Masa dekat HRPZ dulu 2 kali dalam sebulan cuma dekat HUSM tak tahu berapa kali sebab saya baru tukar.
Keadaan alhamdulillah sekarang. Anak ada dapat rawatan dari USM hanya follow up untuk kesihatan dia. Kos tu sebab anak saya ada JKM cuma susu dari klinik sahaja. Tak dapat support hingga sebulan (Pendisure) 2 tin sahaja dalam tempoh 2 minggu. Dan anak saya tak ada terima mana2 bantuan dari segi bulanan, hanya MAIK sahaja dapat untuk tahunan. Saya juga ada dapat bantuan JKM sebanyak RM250 sebab saya tak bekerja. Kerajaan support dari segi perubatan. Sekarang ni keadaan saya alhamdulillah baik tapi saya dah tak ada buah pinggang sebelah. Nak bawa diri sendiri pun saya kurang larat dari sebelumnya. Suami pulak bekerja tidak tetap dan hanya mengharapkan penjualan dari jualan barang terpakai, besi, kotak dan lain2. Sebelum JKM dapat masih ada tunggakkan bil hospital , rumah sewa pun masih ada tunggakkannya. Saya nak berterima kasih kepada puan dan team kerana cakna kepada saya dan keluarga. Saya masih lagi menyewa kongsi sekali dengan mertua jika saya ada duit lebih. Mertua saya ada kerja sebagai cleaner dan umur 50 tahun ni.
Alhamdulillah sihatt dengan cara masing². Makan minum pun alhamdulilah okay. Rawatan susulan memang masih lagi pergi. Suami saya ada cari kerja lain tapi anak saya perlukan penjagaan sebab saya seorang tak larat nak jaga. Dalam seminggu memang tak akan dapat kerja sebab saya perlu ke hospital untuk menjalani rawatan hemodialisis sepanjang 4jam ( 3x dalam seminggu ). Dan suami akan hantar naik kereta. Saya buat hemodialisis kena tebuk dekat leher.