Selama ini dialah yang menanggung keperluan keluarga, manakala isteri membantu mengurus anak-anak, namun sejak Jun lalu, Mohd. Zamzuri Daud @ Ab Ghani tidak dapat bekerja selepas disahkan menghidap penyakit tibi. Disebabkan penyakit itu, jurukamera sebuah portal di sini terpaksa menjalani kuarantin di rumah dan segala perbelanjaan keluarga bergantung kepada bantuan Baitulmal. Menurut Mohd. Zamzuri, dia kini buntu kerana tiada sumber pendapatan untuk meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri, Urwatif Mohamad, 34 dan lima anak-anak berusia dua tahun hingga sembilan tahun.
“Saya diarahkan sepanjang tempoh kuarantin untuk tidak bekerja atau berada di khalayak ramai. “Sebelum disahkan penyakit ini pendapatan bulanan sekitar RM1,800 hingga RM2,500 sebulan sebagai juruvideo dan jurufoto,” katanya di sini. Tambahnya, sejak dua bulan lalu dia ada menerima bantuan daripada Baitulmal. “Komitmen saya ketika ini ialah rumah sewa sebanyak RM400, bil api, bil air dan bil telefon. “Jika saya terpaksa kuarantin lebih lama saya bimbang sebab saya perlu kuarantin selama kuman masih aktif,” tambahnya. Jelasnya, dia perlu ke klinik kesihatan setiap hari untuk mengambil ubat dan pemeriksaan selama fasa intensif selama dua bulan.
Kredit : Penulisan Kosmo