Mutakhir ini aku banyak berfikir tentang kepentingan aku di atas bumi. Mungkin bila umur mencecah lebih 2 dekad, banyak persoalan tentang fungsi kewujudan aku meresap kencang ke dalam minda. Bila aku memakan cukai rakyat daripada beberapa cara, aku terfikir apa yang aku boleh beri balik kepada rakyat. Aku bukan lah seorang aktivis yang kaya dengan ilmu mahupun seorang ahli Parlimen yang boleh memberi pandangan penuh impak kepada penukaran polisi nasional. Seperti kau juga, aku pun seorang Marhaen.
Penulisan ini agak sedikit berbeza, aku ingin mengupas sedikit tentang aktiviti ahli Marhaen di Sungai Kedondong pada 27 September baru baru ini tapi aku kurang minat menulis sekadar laporan. Aku harap corak penulisan ini memberi satu perspektif berbeza kepada rakan Marhaen kami yang tersayang. Pada masa yang sama padat dengan info pada hari yang amat bermakna bagi aku. Hari dimana aku belajar di mana ada niat di situ ada jalan.
Mari kita mula.
Aku dan pasukan Marhaen mulai sedar akan pembukaan tempat-tempat rekreasi beberapa minggu yang lalu. Perasaan berbaur risau dan gembira berkecamuk kerana pandemik yang telah meragut banyak nyawa masih lagi merupakan satu penularan misteri tapi seperti kau dan kau, kami juga sedikit teruja untuk berjumpa teman dan melihat dunia sekali lagi. Syukur, Tuhan masih memberi peluang melihat keindahan alam. Jadi, tempat-tempat popular seperti sungai, pantai dan Pulau Langkawi mula kembali padat pada beberapa minggu yang lepas. Seronok bukan? Kami pun merasa yang sama. Melawat tempat-tempat seperti Sungai Kedondong memang memberi ketenangan yang lain rasanya. Pemandangan apabila dalam perjalanan ke Sungai Kedondong dihiasi bukit-bukau gah yang diselaputi kabus tebal pada waktu pagi. Melihat pelbagai jenis pokok sepanjang jalanan, ada yang tinggi, ada yang rendah, ada melingkar dan ada juga yang besar membentuk sebuah kanopi menutup lantai dari sinaran matahari. Interaksi ekosistem yang pelbagai membuat aku rasa terharu.
Kami sampai ke lokasi lebih kurang 10 pagi. Seperti kebanyakkan Melayu kami agak dibelakang jadual dan cuaca sedikit suam. Kami bersiap siaga di kawasan kereta dan mengambil perkakas yang telah disediakan oleh Akak Sumber Manusia kita yang budiman, lasak dan bertenaga, Cik Hayati. Setelah meninjau kami mendapati terdapat banyak sampah sarap yang bertebaran seperti ada confetti yang diisi dengan sampah telah di letupkan tanpa rasa segan silu atau bersalah. Walaupun aku faham keperluan untuk keluar dan melihat keindahan alam, aku juga merasakan mungkin kita perlu ambil iktibar daripada kesan pandemik baru-baru ini. Menurut pemerhatian kami, kebanyakkan rakyat Malaysia berpusu-pusu mengunjungi tempat-tempat rekreasi seperti ini berbanding ke pusat membeli-belah atau mamak. Boleh dikatakan rakyat Malaysia gemar untuk berhubung dengan alam semula jadi. Buat kami terfikir, “mungkin Tuhan wujudkan rasa rindu akan alam semula jadi, supaya manusia lebih menghargai tempat-tempat sebegini”. Malangnya, penghargaan itu sangat tidak memberangsangkan.
Sampah yang kami lihat terdiri daripada pelbagai jenis bahan dan berlainan keadaan jirim. Plastik, gelas, muntah, takungan air, sisa makanan, banner kanvas expedisi lama, tikar mengkuang dan terdapat juga terdapat lampin bayi yang berisi najis. Aku ulang, “berisi najis”. Lampin bayi tersebut barangkali telah berada disitu berkurun lamanya kerana ada lumut yang berjaya tumbuh segar di atas permukaan lampin itu. Kami amat kecewa dengan sikap ambil senang pengunjung yang hanya mementingkan kebersihan anak kecilnya dan tidak mengurus najis itu dengan cermat dan efektif. Pasukan Marhaen yang terdiri daripada 6 anggota berjaya untuk membersih beberapa tempat yang sangat teruk keadaan seperti pondok-pondok dan tepian sungai. Kami akur yang kami tak menang tangan untuk membersihkan kesemua kawasan Sungai Kedondong. Pasukan Marhaen merancang untuk datang lagi kesini pada masa terdekat dengan anggota yang lebih ramai dan mungkin boleh dapatkan penglibatan dari rakan Marhaen yang lain seperti kau. Dengan izin Tuhan.
Aku sedikit bingung apabila dikelilingi pokok dan sampah pada masa yang sama. Pemandangan yang kontra, aneh, jijik dan mengecewakan. Aku dengar juga Cik Hayati mengomel pada frekuensi yang berkala, “sampah yang dibawa haruslah dibawa balik atau sekurang-kurangnya diuruskan dengan baik”, “nak sambut birthday tiada masalah tetapi haruslah bertanggungjawab kepada pengurusan selepasnya” dan aku bersetuju. Aku rasa apabila alam semula jadi memberi manusia perasaan gembira, tenang dan sentiasa ada untuk manusia, setiap manusia harus ada untuk alam semulajadi. Aku faham mungkin perlu wujud satu sistem pengurusan sampah yang lebih efisien, tapi sampai bila manusia nak berharap kepada orang lain? Ya, kotak Secret Recipe mungkin diperbuat daripada bahan yang senang reput, tapi berapa ribu tahun untuk kotak tersebut kembali menjadi bumi? Bawa balik sampah itu atau uruskan dengan cermat.
Sedikit fakta, di kawasan Batang Kali ini terdapat satu perkampungan Orang Asli berdekatan dan ada sungai-sungai di kawasan ini yang merupakan sumber rezeki kepada mereka seperti Sungai Batang Kali. Sekitar pukul 12 tengah hari kami mengambil nafas di sebuah gerai air kelapa yang diuruskan oleh penduduk tempatan yang sangat peramah. Beliau tidak segan untuk bertanya akan aktiviti yang kami lakukan dan bertanyakan khabar serta asal usul kami. Lain rasanya di kawasan pedalaman berbanding bandar. Menegur dan mengenali satu sama lain mungkin satu kebiasaan untuk orang kampung. Beliau juga memberi pandangan atau sedikit aduan berkenaan pengurusan sampah oleh pengunjung dan hal itu membuat kami rasa sangat malu dengan sikap acuh tak acuh para pengunjung. Kata beliau seperti sudah nak putus asa bercakap mengenai pengurusan sampah. Kami betul-betul malu. Kami pulang setelah berjaya mengumpul lebih kurang 25 beg sampah plastik besar dan berharap sampah-sarap itu akan diuruskan dengan segera supaya hujan tidak mensia-siakan aktiviti kami harini.
Akhir kalam, suka untuk aku berkongsi satu ayat daripada Al-Quran, Allah berfirman dalam Surah Al Rum 30:41 yang bermaksud;
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
Semoga bumi kembali selamat daripada ancaman manusia. Jumpa lagi.
Coretan Terkini |
|
---|---|
|
Marhaen Bekerjasama Dengan Hijra
Jul 20, 2022
|
|
The WhatsApp Economy
Jul 19, 2022
|
|
Ayam Hak Marhaen!
Jul 19, 2022
|
|
Melancong Hak Marhaen: Bagaimana Menyimpan Duit Buat Marhaen
Jul 18, 2022
|
Jom Kongsi Rezeki |
|
---|---|
|
Dana Being Woman
Having a period is just ‘Being a Woman&rsquo...
|
|
Bantuan Perubatan Selepas Patah Tulang Kaki Dilanggar Kereta
Saya NOR FAEZAH BINTI ROSLI, sangat memerluka...
|
|
PERSIAPAN BENCANA BANJIR TAHUN 2023 DI PANTAI TIMUR
TUJUAN AKTIVITI INI bertujuan adalah untuk mencari...
|
|
Anak Berusia 2 Bulan Menghidap Kanser Retinoblastolma
Assalamualaikum, nama saya Mohamad Hafad ayah kepa...
|